
Laporan/foto: Asshari Mohd Juhaidi (Kuantan)/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang menzahirkan penghargaan tertinggi kepada para atlet negeri yang mengharumkan nama Pahang dan negara di pentas antarabangsa menerusi Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang Sempena Sukan SEA ke-33 dan Para ASEAN ke-13 di Thailand yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, di sini semalam.
Majlis diadakan sebagai simbol pengiktirafan kerajaan negeri terhadap kejayaan, pengorbanan dan semangat juang luar biasa para atlet.

Menteri Besar Pahang bersama atlet para.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,pencapaian tersebut membuktikan bahawa atlet Pahang memiliki daya saing yang tinggi, berdisiplin serta bermentaliti juara, bukan sahaja dalam sukan arus perdana, malah dalam sukan para.
“Saudara-saudari bukan sekadar membawa pulang pingat, tetapi turut mengangkat maruah negeri, jati diri anak Pahang serta menjadi inspirasi kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Seramai 44 atlet Pahang yang beraksi di Sukan SEA ke-33 dalam 18 jenis sukan, serta lapan atlet para dari Para ASEAN ke-13, diraikan atas sumbangan cemerlang mereka kepada kejayaan kontinjen negara antaranya dalam sukan polo, pencak silat, hoki, bola jaring, pelayaran, ekuestrian, e-sukan, woodball, futsal, memanah, angkat berat, taekwondo dan olahraga, melibatkan kategori individu dan berpasukan.
Antara kejayaan yang mencuri tumpuan ialah penyertaan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah yang mewakili negara dalam sukan Ekuestrian Polo, sekali gus menyumbang pingat emas dan gangsa di Sukan SEA ke-33.

Nani Sahira menerima cek cura dengan nilai RM10,000.
Turut diraikan ialah atlet olahraga Pahang, Nani Sahirah Maryata yang mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas acara lontar peluru, selain memecahkan rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 16.36 meter.
Wan Rosdy menegaskan pemberian insentif bukan sekadar ganjaran material sebaliknya melambangkan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan serta pembangunan atlet secara berterusan.
Beliau juga turut mengingatkan para atlet agar tidak cepat berasa selesa dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya terus berlatih dengan disiplin tinggi, menjaga sahsiah dan menjadi teladan kepada masyarakat.
Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM21.04 juta melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) bagi pembangunan sukan, selain RM450,000 menerusi Inisiatif Atlet Makmur Pahang bagi menyokong bakat muda negeri.
-RI





