
Laporan/foto: Rahman Ishak/Wira Ismail (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Hari Terbuka Putrajaya menjadi pentas utama dalam mencari titik pertemuan untuk merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
“Hari Terbuka Putrajaya 2026 ialah bukti nyata bahawa perkhidmatan kerajaan tidak lagi berjarak dengan rakyat, ia hadir, boleh diakses dan memberi manfaat secara langsung.
“Putrajaya Open Day kini memasuki edisi kelima penganjurannya dengan konsep yang jelas iaitu satu destinasi pelbagai solusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Putrajaya dan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini hari ini.
Menurut Hannah, penganjuran Hari Terbuka Putrajaya selari dengan hala tuju perkhidmatan awam dalam mempercepat pelaksanaan dan memperhebat informasi dengan fokus kepada memudahkan urusan rakyat.
“Dalam kerajaan MADANI, penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berkesan adalah keutamaan. Kerajaan telah menaikkan gaji penjawat awam dan kini usaha kita bertumpu kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam dan keluarga mereka khasnya di Putrajaya.
“Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara wajar menjadi contoh terbaik dalam bidang dan kelas satu. Pembangunan Kota MADANI Putrajaya mendekatkan bandar yang inklusif, berdaya huni dan mampan dengan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama,” katanya.
Hari Terbuka Putrajaya yang merupakan acara tahunan ikonik, pertama kali diadakan pada tahun 2022 bagi meraikan dua peristiwa penting iaitu Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari dan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Putrajaya (PPj) iaitu pada 1 Mac.
Pada program tersebut, sebanyak 488 pempamer dan vendor merangkumi kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta disatukan bagi menawarkan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.
-RI





