
Laporan/foto: Ezwana Adnan (Johor)/Facebook Mohd Jafni Md Shukor
JOHOR BAHRU, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sedang melaksanakan enam projek mitigasi banjir bernilai RM16.66 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai dan DUN Kota Iskandar bagi menangani isu banjir kilat secara mampan.

Tinjauan di lapangan bersama Datuk Bandar MBIP Hasrin Kamal, ADUN Skudai Marina Ibrahim dan ADUN Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata inisiatif tersebut melibatkan penggunaan teknologi kolam takungan On-Site Detention (OSD) bawah tanah yang berfungsi sebagai sistem simpanan sementara air hujan.
“Teknologi kolam tadahan multifungsi itu merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Johor, sekali gus mencerminkan transformasi kerajaan negeri dalam menerapkan penyelesaian inovatif bagi pengurusan banjir bandar.
“Ruang di bahagian atas kolam OSD di Jalan Hang Tuah yang bernilai RM3 juta ini turut dimanfaatkan sebagai kemudahan awam, termasuk taman permainan dan kawasan riadah untuk kegunaan komuniti setempat,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, semalam.

Penggunaan teknologi kolam takungan On-Site Detention (OSD) bawah tanah yang berfungsi sebagai sistem simpanan sementara air hujan.
Terdahulu, beliau melakukan tinjauan di lapangan bersama Datuk Bandar MBIP Hasrin Kamal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim dan ADUN Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.
Mengulas mengenai kemajuan projek lain, Mohd Jafni memaklumkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Jalan Zapin yang melibatkan kos RM5 juta kini telah mencapai tahap 78 peratus sejak dimulakan pada Ogos tahun lalu.
Tegas beliau, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan setiap projek mematuhi spesifikasi dan garis masa yang ditetapkan demi menjamin keselamatan harta benda penduduk daripada ancaman bencana.
-RI





