Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Laksa Kebok Tok Jam Tarikan Baharu Makanan Tradisional di Pendang

By 29 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Keunikan laksa beras buatan tangan yang diproses sepenuhnya secara tradisional di rumah menjadikan perniagaan Laksa Kebok Tok Jam sebagai tarikan baharu di daerah Pendang, sekali gus mengangkat resipi turun-temurun sebagai produk tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Mesin untuk menghasilkan Laksa Kebok secara tradisional suatu ketika dahulu.

Pengusaha Laksa Kebok Tok Jam, Mohd Ridzwan Mahmud, 60, berkata idea untuk mengusahakan perniagaan makanan tradisional itu tercetus daripada minat serta pengalaman beliau dalam mengolah laksa beras secara tradisional sejak sekian lama.

Menurutnya, perniagaan tersebut dimulakan dengan modal simpanan sendiri sebanyak RM5,000 yang digunakan untuk membeli mesin serta peralatan memasak bagi merealisasikan hasrat membuka perniagaan laksa beras buatan tangan.

“Walaupun baru sebulan beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan khususnya daripada penduduk sekitar,” katanya yang berasal dari Kampung Majapahit, di sini kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Perniagaan Laksa Kebok Tok Jam diusahakan bersama adiknya, Sakinah Mahmud, 43, sebagai usaha keluarga dalam memperkenalkan dan memartabatkan makanan tradisional tempatan kepada masyarakat umum.

“Keistimewaan laksa kami terletak pada laksa beras yang dihasilkan sendiri sepenuhnya, manakala kuah laksa lemak pula menggunakan ikan segar yang diperoleh terus dari Tanjung Dawai,” kata Sakinah.

Mesin moden yang digunakan untuk menghasilkan laksa beras.

Selain menjual laksa beras sebagai menu utama, mereka turut mempromosikan pelbagai produk makanan sejuk beku lain termasuk kuih-muih tradisional bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta menarik lebih ramai pelanggan ke premis perniagaan tersebut.

Mohd Ridzwan berharap usaha mempromosikan produk makanan tradisional ini bukan sahaja dapat mengekalkan warisan kulinari tempatan malah mampu melahirkan lebih ramai usahawan belia yang mengamalkan perniagaan halal dan bersyariat.

Beliau turut berharap perniagaan tersebut dapat menjadi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk setempat melalui peluang berniaga di kiosk-kiosk yang disediakan di restoran berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda