
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/JM.Chin (Carousell)
MUKAH, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Terendak Melanau atau lebih dikenali sebagai Tapow Belaten merupakan penutup kepala tradisional masyarakat Melanau yang menjadi simbol identiti budaya, khususnya di kawasan Mukah, Sarawak.
Tapow Belaten yang berasal daripada dialek Melanau Mukah bukan sekadar hiasan kepala, malah berfungsi sebagai pelindung daripada panas terik matahari dan hujan ketika masyarakat dahulu menjalankan aktiviti di kebun serta di sungai.
Bentuknya yang lebar, segitiga dan tirus ke bahagian atas menjadikan Tapow atau terendak praktikal serta sesuai digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat Melanau suatu ketika dahulu.
Anyaman bahan semula jadi
Keunikan Tapow Belaten terserlah melalui penggunaan bahan semula jadi seperti daun nipah, daun pokok sagu dan daun pandan yang dianyam secara tradisional. Anyaman tersebut dihiasi dengan pelbagai corak dan warna menarik yang menambah seri serta nilai estetika kepada kraf berkenaan.
Setiap Tapow Belaten dihasilkan dengan ketelitian tinggi, mencerminkan kemahiran serta kreativiti penggiat seni anyaman tradisional Melanau.

Tapow Belaten, terendak tradisional masyarakat Melanau di Mukah yang dianyam menggunakan bahan semula jadi, melambangkan nilai seni, warisan budaya serta identiti komuniti setempat.
Bengkel pupuk warisan
Menyedari nilai warisan Tapow Belaten yang semakin dilupakan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tellian Ulu dengan kerjasama Komuniti MADANI Tellian Ulu mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Anyaman Tapow Belaten bagi memastikan seni tradisi ini terus dipelihara.
Bengkel anyaman yang diadakan di Tellian Ulu hari ini bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat setempat khususnya generasi muda untuk mempelajari kaedah pembuatan Tapow atau terendak secara tradisional sekali gus menyemai minat terhadap seni kraftangan warisan masyarakat Melanau di Mukah.
Ketua Kaum Kampung Tellian Ulu, Hairin Junang berkata penganjuran bengkel ini bertujuan melahirkan generasi baharu penggiat kraftangan Melanau yang berpengetahuan dan berkemahiran.
“Penyertaan peserta dalam bengkel ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran serta penghargaan terhadap identiti budaya Melanau, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Julahi Hassan (tengah), Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Datuk, turut berminat untuk menyertai Kursus Anyaman Tapow yang dianjurkan
Hairin yang juga Pengerusi Komuniti MADANI Tellian Ulu menjelaskan bengkel tersebut turut memberi pendedahan kepada seni dan teknik kraftangan tradisional Melanau seperti anyaman, ukiran serta penghasilan kraf berasaskan bahan tempatan.
“Bahan-bahan seperti daun nipah mudah diperoleh di sekitar Kampung Tellian Ulu. Ia diproses, dianyam dan dibentuk secara tradisional menjadi Tapow atau terendak,” ujarnya.
Menurut beliau, minat generasi masa kini terhadap seni anyaman Tapow Belaten semakin berkurangan justeru penganjuran bengkel seumpama ini penting bagi memastikan warisan budaya Melanau tidak pupus ditelan zaman.
Peluang ekonomi komuniti
Bengkel Anyaman Tapow Belaten itu berlangsung selama tiga hari bermula Selasa, 27 Jan hingga Khamis, 29 Jan dan merupakan siri kedua selepas kejayaan pelaksanaan siri pertama sebelum ini.
Seramai tujuh peserta terdiri daripada penggiat seni anyaman tradisional, usahawan kraftangan serta penduduk sekitar Mukah menyertai bengkel tersebut yang dibimbing secara bersemuka oleh tenaga pengajar utama, Johnny Anthony dari Kampung Tellian Tengah.

Johny Anthony, penggiat seni kraftangan tradisional dari Kampung Tellian Tengah, menyampaikan tunjuk ajar teknik anyaman Tapow Belaten kepada peserta bengkel di Kampung Tellian Ulu, Mukah.
Hairin berharap bengkel ini dapat meningkatkan kemahiran praktikal peserta dalam menghasilkan produk kraftangan berkualiti dan bernilai komersial, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui peluang keusahawanan serta sumber pendapatan sampingan.
-RJ-







