
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid/Unit Komunikasi Korporat Hospital Queen Elizabeth (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Feb (MalaysiaAktif) – Hospital Queen Elizabeth (HQE) terus memperkukuh amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja Bahagian Pengurusan menerusi pelaksanaan Program Pengurusan Aktif Sihat Sejahtera 2026 (PASS 2026).
Timbalan Pengarah (Pengurusan) HQE Jackson Taguah berkata, inisiatif itu dirangka bagi menggalakkan pengamalan gaya hidup aktif dalam kalangan kakitangan di samping mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan produktif.
“Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kesedaran penjagaan kesihatan diri, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kerja.
“Amalan gaya hidup aktif membantu mengurangkan tekanan kerja, mengawal berat badan serta mengurangkan risiko penyakit kronik,” katanya ketika ditemui pada Program PASS 2026, di sini pada Jumaat.

Pengarah HQE Datuk Dr. Abd. Kahar bin Abd. Asis (hadapan) bersama pengurusan tertinggi dan warga kerja Bahagian Pengurusan bersemangat menyertai aktiviti senaman kardio.
Menurut Jackson, bertemakan Aktiviti Pengurusan Demi Kesihatan, PASS 2026 menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan, program penurunan berat badan, hiking, jogging serta sukan seperti boling, badminton dan bola tampar.
Beliau berkata, program itu dirangka selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang memberi penekanan kepada penglibatan aktif kakitangan dalam aktiviti kecergasan dan sukan bagi memastikan tahap kesihatan, produktiviti serta kesejahteraan mental sentiasa terpelihara.
PASS 2026 dijadual berlangsung sehingga November 2026 dan dijangka mampu menarik penyertaan lebih ramai warga hospital ke arah persekitaran kerja yang lebih sihat, ceria dan bertenaga.
Majlis pelancaran program yang berlangsung di perkarangan Pejabat Unit Kesihatan Awam HQE disempurnakan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis.
Turut hadir Timbalan Pengarah Klinikal I Dr. Marcus Netto, ketua-ketua unit serta lebih 50 kakitangan Bahagian Pengurusan HQE.
-RJ-






