
Laporan/foto: Christi Lemon (Sarawak)
BAU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Kemahiran asas Kecerdasan Buatan (AI) kini dilihat sebagai keperluan penting dan nilai tambah kepada pelajar, khususnya dalam bidang teknologi maklumat serta bidang lain selari dengan keperluan semasa.
Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) Stephanie Annie Tupi berkata, pendedahan awal terhadap AI bukan sahaja relevan dengan keperluan industri, malah mampu melengkapkan pengetahuan pelajar bagi mendepani cabaran teknologi sejajar perkembangan dunia digital masa kini.

Stephanie Annie Tupi menyampaikan ucapan pada Kursus Asas Kecerdasan Buatan (AI) yang memberi pendedahan kepada pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan mengenai penggunaan AI dalam bidang pendidikan dan industri, di Bau.
“Kursus berkaitan AI membawa banyak manfaat memandangkan kebanyakan urusan kini melibatkan penggunaan teknologi tersebut, sekali gus menjadikan kursus sebegini mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelbagai pihak,” katanya ketika berucap mewakili Pengarah KKMG sempena Kursus Asas Kecerdasan Buatan (AI), di sini, semalam.
Menurut beliau, kursus berkenaan melibatkan 21 pelajar terdiri daripada dua lelaki dan 19 perempuan, selain diiringi empat guru dari Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, Bentong, Pahang.
Stephanie turut berkata, pihak KKMG mengalu-alukan kehadiran Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan yang menunjukkan minat serta keyakinan untuk mempelajari asas AI di institusi itu, sekali gus mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemudahan latihan yang disediakan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perniagaan Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan berkata, pelajar yang terlibat merupakan pelajar Jabatan Perniagaan yang mengikuti kursus tersebut bagi tujuan pengurusan dokumen pejabat.

Pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan mengikuti Kursus Asas Kecerdasan Buatan (AI) anjuran KKMG bagi meningkatkan pemahaman asas teknologi AI dalam bidang pembelajaran.
“Penyertaan ini bertujuan membantu pelajar menguasai asas AI sebelum menjalani latihan industri pada masa hadapan,” katanya.
Kursus berkenaan dikendalikan pensyarah KKMG Ts. Siti Nursaadah Mat Yusoff dan dibantu Juriati Abang Asa, dengan penekanan terhadap penglibatan aktif peserta merangkumi pengenalan konsep asas AI serta aplikasi teknologi itu dalam bidang pendidikan dan industri.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan KKMG Munirah Yahya, Pegawai Pembelajaran Sepanjang Hayat Lenny Lai Mei Lan serta pensyarah-pensyarah KKMG.
-RJ-





