
Laporan/foto: Muhammad Fakhri/Jalal (Alor Gajah)
MACHAP JAYA, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) merupakan sebuah inisiatif tahunan yang diwujudkan bagi mengiktiraf pencapaian serta usaha komuniti Felda dalam pelbagai aspek pembangunan sosial, ekonomi dan pengurusan rancangan.

Juri membuat lawatan ke sebahagian checkpoint yang telah ditetapkan
Penganjuran AKRF 2026 peringkat Wilayah Segamat menjadi medan penting untuk menonjolkan potensi setiap rancangan Felda secara menyeluruh dan berdaya saing.
Tumpuan tahun ini banyak terarah kepada FELDA Tun Ghafar Hutan Percha yang dilihat semakin menyerlah melalui penglibatan aktif komuniti, kepimpinan setempat serta perkembangan sektor pelancongan dan kebudayaan yang kian mendapat perhatian.
Ketua Juri Amna Saufi Ali, berkata objektif utama AKRF adalah untuk memupuk budaya kecemerlangan, memperkukuh semangat kerjasama komuniti serta menggalakkan persaingan sihat antara rancangan Felda.
“Kumpulan sasaran program ini merangkumi peneroka, generasi kedua dan ketiga, golongan belia, pertubuhan wanita, usahawan kecil serta jawatankuasa pembangunan rancangan yang menjadi penggerak utama komuniti.
“Program seumpama ini layak diketengahkan lagi kerana penglibatan belia dalam kepimpinan memainkan peranan penting, di samping potensi pelancongan FELDA Tun Ghafar Hutan Percha yang diyakini mampu terus berkembang maju,” ujarnya.
Menurut Penolong Pegawai Pembangunan Peneroka (ASDO) Cawangan Pembangunan Komuniti dan Generasi Felda Wilayah Segamat, Rafidah Najib, FELDA Tun Ghafar Hutan Percha mempunyai pelbagai potensi daripada segi bakat, kesenian dan pelancongan yang boleh diketengahkan ke tahap lebih tinggi.
“Secara keseluruhannya, impak penganjuran AKRF bukan sahaja meningkatkan motivasi dan perpaduan warga Felda, malah memberi manfaat kepada masyarakat umum melalui limpahan ekonomi setempat, promosi destinasi pelancongan serta pengukuhan imej komuniti luar bandar yang progresif dan berdaya maju,” ujar beliau.
-AA-





