Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Sambutan Thaipusam Inspirasi Perpaduan dan Keharmonian

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Perayaan Thaipusam disambut meriah dengan perarakan kavadi yang disertai ratusan penganut Hindu sebagai tanda menunaikan nazar dan kepercayaan keagamaan di Kuil Sri Maha Mariamman, Kampung Ladang Kerilla, pada Isnin.

Suasana kehadiran penganut agama Hindu sempena sambutan Hari Thaipusam 2026 di Kuil Sri Maha Mariamman Ladang Kerilla

Sambutan dimulakan dengan upacara keagamaan di kuil sebelum penganut meneruskan perarakan, manakala ahli keluarga serta pengunjung turut hadir menyaksikan suasana penuh harmoni yang mencerminkan keakraban masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.

Para penganut Hindu berarak sambil membawa paal koodam (belanga berisi susu) dari Kuil Sri Sundra Moorthy Vinayagar ke Kuil Sri Maha Mariamman sejauh tiga kilometer, bermula sekitar jam 9 pagi dan mengambil masa kira-kira 40 minit berjalan kaki.

Pembantu Setiausaha Kuil Sri Maha Mariamman, Gunalan Nadesan berkata perayaan Thaipusam disambut bagi menghormati Dewa Murugan, yang turut dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Acara mencukur rambut sebagai penebus dosa

“Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan memohon hajat, dan apabila hajat dimakbulkan, upacara kesyukuran akan diadakan,” katanya.

Seorang penganut, Ram Kumar  Sp Rajendran, berkata sambutan ini memberi peluang kepada penganut untuk menyempurnakan nazar masing-masing melalui kavadi dan paal koodam sebagai tanda kesyukuran.

Perayaan Thaipusam berasal daripada gabungan bulan Thai dan bintang Pusam, yang menurut kepercayaan Hindu menandakan peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci bagi menghapuskan kejahatan, sekali gus menjadi simbol kemenangan kebaikan.

-AA-

Tinggalkan komen anda