Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Zon Barat Dominasi Takraw Wanita, Sedia Gegar SUKSAR IV

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Kontinjen Zon Barat terus menonjol sebagai pasukan digeruni dalam Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 apabila menunjukkan dominasi mutlak dalam acara sepak takraw beregu wanita.

Dalam aksi peringkat kumpulan semalam, kedua-dua regu Zon Barat melangkah ke pusingan seterusnya sebagai juara kumpulan.

Zon Barat B mengungguli Kumpulan A dengan kemenangan bergaya ke atas Zon Utara B (30-8) dan Zon Selatan A (30-18), manakala Zon Barat A menjuarai Kumpulan B tanpa kalah, hanya membenarkan lawan mengutip 18 mata keseluruhan.

Skuad ini diketuai Fitri Ramzee Ramlee, dibimbing Ketua Jurulatih Mohd Rushdi Sani, dan dibantu Penolong Jurulatih Claudius Utik Edwin.

Menurut Fitri, persiapan pasukan berjalan lancar dan anak buahnya kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan kalah mati.

Pengurus Pasukan Fitri Ramzee (tengah) bersama skuad Zon Barat yang berjaya sapu bersih kemenangan peringkat kumpulan, kini bersedia menakluk pusingan kalah mati bagi memburu pingat emas SUKSAR IV.

“Kami telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lalu. Semangat dan keserasian pemain meningkat dari hari ke hari. Sasaran utama adalah memberikan persembahan terbaik dan memburu pingat emas,” katanya.

Mohd Rushdi menekankan strategi pasukan dirangka berpandukan kekuatan setiap pemain bagi memastikan Zon Barat kekal dominan.

“Setiap perlawanan memerlukan fokus tinggi dan disiplin. Saya yakin barisan pemain ini mampu menampilkan permainan mantap dan memberikan cabaran sengit kepada semua pasukan,” katanya.

Seramai 14 pemain disenaraikan untuk cabaran kali ini, termasuk Sherlina Mariantha Linjin, Lavendar Lenjai, dan Willis Ivyen dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, bersama bakat muda dari SMK Dato Patinggi Kedit serta sekolah lain.

Prestasi cemerlang di peringkat awal meletakkan Zon Barat sebagai calon utama untuk merangkul pingat emas, sekali gus menegaskan SUKSAR IV sebagai platform penting mencungkil dan mengasah bakat muda Sarawak, serta mempersiapkan pelapis negeri untuk kejohanan lebih berprestij seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

-RJ-

Tinggalkan komen anda