Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Optimis Capai Sasaran 30,000 Rumah Mampu Milik

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor optimis mencapai sasaran penyediaan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun, susulan prestasi memberangsangkan penyerahan kunci dan Sijil Layak Menduduki Rumah (SLMR) setakat ini.

Sehingga suku keempat 2025, sebanyak 20,212 unit kediaman yang memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) berjaya diserahkan kepada pembeli

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata bagi tempoh tahun 2022 sehingga suku keempat 2025, sebanyak 20,212 unit kediaman yang telah memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) berjaya diserahkan kepada pembeli.

“Insya-Allah, baki sebanyak 9,000 unit lagi akan kita selesaikan pada tahun ini. Ini bermakna sasaran 30,000 unit rumah bagi tempoh lima tahun pentadbiran akan tercapai sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serahan 2,000 Unit RMMJ Untuk Bangsa Johor, di sini hari ini.

Penyerahan hari ini melibatkan penerima kategori rumah berharga RM150,000, RM250,000, dan RM300,000, sekali gus mencatatkan rekod penyerahan SLMR terbesar dalam tempoh empat tahun.

Mengulas mengenai insentif pemilikan kediaman, Mohd Jafni menjelaskan kerajaan negeri telah meluluskan bantuan RM5,000 bagi pembelian rumah pertama melibatkan peruntukan melebihi RM100 juta.

Kerajaan Negeri Johor meluluskan bantuan RM5,000 untuk pembelian rumah pertama dengan peruntukan melebihi RM100 juta, memberi manfaat kepada 20,000 penerima

“Buat pertama kali dalam sejarah, inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 20,000 penerima. Selain itu, bantuan baucar RM2,000 untuk urusan masuk ke rumah kini diperluaskan kepada kategori kediaman berharga RM500,000 ke bawah, berbanding had RM300,000 sebelum ini,” tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Jafni turut menyentuh keberkesanan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Johor mencatatkan penggunaan SJKP tertinggi di Malaysia dengan nilai peruntukan mencecah RM1.1 bilion.

“Skim ini menjadi pilihan utama khususnya bagi golongan muda dan pekerja sektor ekonomi gig seperti pemandu e-hailing dan teksi yang tidak mempunyai slip gaji tetap.

“Kita bekerja rapat dengan pihak SJKP bagi memastikan rakyat Johor, terutamanya mereka yang bekerja sendiri, dapat memanfaatkan jaminan RM20 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda