
Laporan/foto: M Zakry Chan/BERNAMA
MELAKA, 7 Fed (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 disifatkan sebagai langkah tepat kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna internet daripada ancaman jenayah siber dan penyalahgunaan platform digital.
Seorang pengguna internet, Muhd Aliff Hashim,24, berkata pelaksanaan akta berkenaan mampu memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang aktif menggunakan media sosial.
“Akta ini sangat penting kerana sekarang terlalu banyak kes penipuan dalam talian dan penyebaran maklumat palsu, sekurang-kurangnya pengguna lebih dilindungi dan platform pun perlu bertanggungjawab,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Amir Hamzah Nazri, 25, pula berpandangan ONSA tidak menjejaskan kebebasan bersuara sebaliknya membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika.
“Kita masih bebas bersuara, cuma kena lebih berhemah. Apa yang penting, pengguna tak lagi terdedah kepada kandungan berbahaya atau penipuan.
“Pelaksanaan ONSA mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan teknologi digital, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem digital negara,” katanya.
-FN






