
Laporan/Foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Tanggungjawab memelihara ekosistem negara khususnya di negeri Sabah tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya dipikul bersama seluruh rakyat negeri itu.

Arthur ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Renjer Komuniti dan Flag-Off Operasi Bersepadu Khazanah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Sri Arthur Joseph Kurup berkata Malaysia merupakan antara 17 negara megadiverse dunia, sekali gus menjadikan Sabah sebagai aset alam semula jadi yang amat bernilai di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan perkara kecil kerana dunia melihat negara kita sebagai gedung khazanah alam yang sangat berharga. Oleh itu, tanggungjawab memelihara ekosistem bukan hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya merupakan amanah bersama seluruh rakyat Sabah.
“Masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab seperti pencerobohan hutan, pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar yang boleh merosakkan ekosistem serta menjejaskan warisan alam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Serahan Watikah Pelantikan Renjer Komuniti dan Flag-Off Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan, di sini Sabtu lalu.
Arthur berkata Renjer Komuniti terdiri daripada bekas anggota tentera, pesara polis, komuniti Orang Asli serta penduduk tempatan yang mahir dengan selok-belok hutan, sekali gus memainkan peranan penting dalam rondaan kawasan hutan simpan.
“Pada tahun lalu sahaja, seramai 2,500 Renjer Komuniti telah dilantik di seluruh negara. Di Sabah pula, seramai 243 orang ditempatkan di 18 pos rondaan meliputi kawasan Keningau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Tawau, Tenom dan Sipitang,” katanya.

Arthur menyempurnakan pelepasan Operasi Bersepadu Khazanah sempena Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Renjer Komuniti Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026.
Arthur turut memaklumkan menerusi Belanjawan 2026, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan RM80 juta bagi melantik 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara, dengan RM8.46 juta daripadanya disalurkan khusus kepada Sabah untuk melantik kira-kira 250 Renjer Komuniti.
Beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi pelaksanaan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang dilaksanakan sejak 2019, termasuk Operasi Bersepadu Khazanah dan pelantikan Renjer Komuniti.
“Operasi OBK dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan serta Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pasukan dari Sarawak,” jelasnya.
Tambah beliau, penglibatan wanita turut diperkasakan menerusi pasukan SMART Analyst, yang bertanggungjawab mengumpul data serta mengenal pasti kawasan berisiko tinggi pencerobohan dan pemburuan haram.
“Ini membuktikan bahawa kaum wanita juga memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan hutan,” katanya.

Pasukan Renjer Komuniti mengetuai bacaan Rukun Negara sempena majlis berkenaan, kelmarin.
Menurut beliau, usaha pemuliharaan itu turut disokong melalui pemberian insentif kewangan kepada negeri yang memelihara hutan serta kerjasama dengan badan antarabangsa dalam membanteras jenayah hidupan liar, termasuk usaha pemuliharaan Banteng Borneo di kawasan Lembangan Maliau.
“Hasil usaha berterusan ini, Malaysia telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2021 dan 2023, sekali gus membuktikan pendekatan pemuliharaan negara adalah antara yang terbaik di dunia,” katanya.
-RJ-





