
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Sabah I yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau di sini, Sabtu menjadi platform penting dalam memperluas akses maklumat dan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui berkata pemilihan Tawau sebagai lokasi penganjuran membuktikan komitmen kerajaan memastikan peluang pendidikan tinggi tidak tertumpu di bandar utama semata-mata, sebaliknya dibawa terus kepada masyarakat di seluruh negara.
“Pendidikan kekal sebagai teras pembangunan negara dan terus diberi keutamaan dalam Belanjawan Malaysia 2026 sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan modal insan berdaya saing,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi disebabkan kekangan kewangan.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan termasuk FLYsiswa dan SUBFLY bagi membantu menampung kos perjalanan pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar kawasan,” jelasnya.
Tambah beliau, Karnival JMU bukan sekadar pameran institusi pengajian tinggi sebaliknya berperanan sebagai platform rujukan penting kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat membuat perbandingan serta memahami laluan pendidikan yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing.
“Sabah menaruh harapan besar agar generasi muda menjadi insan berilmu, beretika dan berkemahiran tinggi serta kembali menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas penganjuran Karnival JMU 2026 yang disifatkan mampu meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap pendidikan tinggi, khususnya di negeri ini.
-RJ-





