Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bomba Berjaya Padam Kebakaran Hutan 44 Ekar di Salak Tinggi

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran hutan seluas kira-kira 44 ekar di kawasan berbukit Jalan Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pagi tadi.

Situasi kebakaran yang berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Zuhairi Zanudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.51 pagi semalam sebelum menggerakkan pasukan pertama ke lokasi kejadian.

Operasi pemadaman melibatkan kekuatan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, Cyberjaya, dan Dengkil dengan sokongan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah lori tangki air.

“Antara kekangan utama yang dihadapi pasukan penyelamat adalah faktor geografi kawasan yang berbukit dan berhutan tebal, selain isu tekanan air rendah yang menyukarkan akses terus ke punca api,” jelasnya.

Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di lokasi kejadian.

Tambahnya, faktor cuaca kering dan angin kencang turut meningkatkan risiko api merebak ke kawasan infrastruktur awam berhampiran termasuk sekolah dan kawasan perumahan.

Setelah hampir 24 jam bertarung dengan api, pihak bomba mengesahkan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.30 pagi tadi.

Meskipun api sudah dipadamkan, sepasukan anggota bomba masih ditempatkan di lokasi untuk menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan tiada lagi baki bara api yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula akibat cuaca panas.

-RI

Tinggalkan komen anda