
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Terengganu)
DUNGUN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula dikreditkan secara sekali beri melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas sejak 9 Februari lalu nyata membawa sinar kelegaan kepada para penerima.
Inisiatif kerajaan MADANI itu bukan sahaja menunaikan janji yang dinanti-nantikan, malah turut memperluaskan kategori barangan keperluan harian termasuk makanan sejuk beku. Langkah tersebut dilihat lebih praktikal dan selari dengan keperluan semasa rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Wan Mohd, berkata SARA cukup untuk membeli barangan dapur.
Bagi Ketua Pembantu Tadbir Wan Mohd Rosli Wan Ngah, 51, bantuan berkenaan walaupun tidak besar nilainya, tetap memberi makna dalam membantu perbelanjaan bulanan.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, ia cukup untuk membeli barangan dapur seperti beras, minyak masak dan gula. Saya amat berterima kasih dan menyokong usaha kerajaan menambah kategori barangan supaya bantuan benar-benar digunakan untuk keperluan asas,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Aktif, di sini semalam.
Menurutnya, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan sebegini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.

Januar Musa, berkata dengan adanya kategori baharu seperti makanan sejuk beku, penerima SARA mempunyai lebih pilihan.
Pandangan sama turut disuarakan oleh Pembantu Khidmat Am Januar Musa, 58, yang menyifatkan bantuan tersebut sebagai kelegaan terutamanya pada awal bulan.
“Dengan adanya kategori baharu seperti makanan sejuk beku, kami mempunyai lebih pilihan untuk membeli barangan keperluan. Ia sangat membantu,” ujarnya.
Orang ramai turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan penyertaan kedai, termasuk kedai runcit kecil di kawasan kampung, supaya manfaat bantuan dapat dinikmati dengan lebih meluas dan inklusif.
-RI





