Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Sambutan Tahun Baharu Cina Ledang Teguhkan Keharmonian Antara Kaum

By 15 Februari 2026Februari 17th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)

TANGKAK, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Parlimen Ledang berlangsung meriah di Pekan Bukit Kangkar dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum bersama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

Syed Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Parlimen Ledang

Dalam ucapannya, beliau menegaskan majlis itu bukan sekadar perayaan tetapi platform memperkukuh silaturahim, persahabatan dan perpaduan.

“Hari ini kita mengadakan majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Parlimen Ledang untuk kita eratkan silaturahim, persahabatan, kukuhkan perpaduan dan meraikan kepelbagaian serta keharmonian,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, Ledang unik dengan kepelbagaian kaum termasuk Melayu, Cina, India, Jawa dan Orang Asli, selain gabungan kampung tradisional, taman perumahan dan komuniti pekebun.

“Ledang ini unik. Kita ada pelbagai kaum dan latar belakang. Jika kita tidak eratkan persahabatan dan tidak menjaga perpaduan, mudah timbul salah faham. Tetapi apabila kita saling kenal dan saling bantu, itu menjadi kekuatan kepada kita.

Penyampaian sumbangan duit raya kepada masyarakat Cina yang hadir

“Keharmonian membawa kemakmuran. Walaupun kita berbeza latar belakang, agama, bangsa dan budaya, kita semua boleh mencapai kemakmuran secara bersama,” katanya.

Tambahnya, kejayaan pembangunan dan kemakmuran sesebuah kawasan bukan kerana satu agensi atau satu komuniti sahaja tetapi bergantung kepada kerjasama semua pihak.

Beliau turut menyeru agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan masyarakat setempat terus berganding bahu memajukan Parlimen Ledang sebagai kawasan yang harmoni dan progresif.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib, Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak Khairulhizam Hassan dan Pegawai Penerangan Daerah Tangkak Noorliana Mohd Ali.

-AA-

Tinggalkan komen anda