
Laporan/foto: Ahmad Shazni Shaari/Ahmad Suhaimi Mokhtar
KUALA LUMPUR, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM136,000 sumbangan Ramadan disalurkan kepada 10 masjid dan 43 surau di Parlimen Segambut sempena Ramadan tahun ini.
Menerusi inisiatif tersebut, setiap masjid menerima sumbangan RM5,000 manakala setiap surau menerima RM2,000 bagi tujuan pengimarahan Ihya’ Ramadan. Turut diagihkan ialah kotak kurma untuk edaran kepada jemaah sepanjang bulan Ramadan.

Penyerahan sumbangan Ramadan dan buah kurma kepada wakil masjid serta surau Parlimen Segambut
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, berkata bantuan berkenaan diharap dapat memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat serta memastikan aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan itu terus diperkasa.
“Semoga bantuan seumpama ini dapat terus memperkukuhkan semangat kebersamaan masyarakat, selain memastikan aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan Parlimen Segambut terus diperkasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan di Masjid Al-Firdaus, Segambut Luar.
Beliau turut memaklumkan cadangan untuk memperbanyakkan program bersama komuniti selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar Kuala Lumpur, khususnya melibatkan warga emas bagi membantu meringankan kos sara hidup golongan berkenaan.
Sementara itu, wakil penerima dari Madrasah Busta Nul Ulum, Hisyarullil Mohd Elyas, 45, menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.
“Saya amat bersyukur di atas sumbangan Ramadan ini dan akan memastikan ia digunakan sebaik mungkin untuk mengimarahkan bulan Ramadan bersama pelajar-pelajar di madrasah ini,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Masjid Al-Firdaus, Ir. Azman Ariffin serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Segambut.
-AA-





