
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/KKSB (Sabak Bernam)
SABAK BERNAM, 15 Feb (MalaysiaAktif) – Langkah santai merentas desa mewarnai penganjuran Program Aspirasi MADANI 2026 (PAM 2026) anjuran Kolej Komuniti Sabak Bernam dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang berlangsung di Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), semalam.

Datuk Dr Anesee (Tengah) bersama Ahmad Arman Pengarah KKSB (kanan) masing-masing memakai tanjak serta selempang bersama-sama komuniti Sabak Bernam berjalan sekitar kampung sempena Lenggang Lenggok Rentak Desa yang bertemakan pakaian ala kampung
Program yang menghimpunkan warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bersama komuniti setempat itu diserikan dengan aktiviti Lenggang Lenggok Rentas Desa yang menyaksikan peserta berjalan mengelilingi kampung serta sekitar kolej.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, berkata program ini merupakan cerminan kesungguhan KPT dan PUSPANITA JPPKK dalam menyokong kebajikan pelajar serta membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya pelajar POLYCC dan anak-anak staf PUSPANITA POLYCC di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kita tidak mahu ada pelajar yang terpaksa melupakan impian hanya kerana kekangan kewangan, dan kita juga tidak mahu ada bakat yang terhenti di pertengahan jalan hanya kerana kurang sokongan, Inilah semangat Malaysia MADANI, pendidikan perlu menyantuni dan membuka ruang untuk setiap anak bangsa melangkah lebih jauh,” katanya dalam ucapan perasmian PAM 2026.
Turut berlangsung Majlis Perasmian Penutup Back to School yang meraikan 68 penerima terdiri daripada anak-anak staf dan pelajar POLYCC serta penyerahan simbolik sumbangan Yayasan Selangor berjumlah RM11,000 melalui Selangor Internship Student Programme 2026 kepada pelajar yang sedang menjalani latihan Work Based Learning (WBL) di Gamuda Engineering Sdn. Bhd.

Sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar KKSB, POLYCC dan Komuniti Sabak Bernam yang berpakaian ala kampung memeriahkan Lengang Lenggok Rentak Desa di KKSB
Selain itu, Persatuan Alumni Kolej Komuniti Sabak Bernam turut menyumbang dua unit penghawa dingin bagi meningkatkan keselesaan ruang rehat pelajar KKSB.
Penganjuran PAM 2026 juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi Kolej Komuniti sebagai institusi latihan kemahiran inklusif yang menyediakan laluan pendidikan fleksibel termasuk program sepenuh masa, kursus jangka pendek dan micro credential selaras keperluan industri.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta barisan pengarah POLYCC negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
-AA-





