Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pameran Sains Interaktif Dekati Pelajar Luar Bandar Sabah

By 16 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Florinah Lunsin (Kudat)

KUDAT, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Pameran Bergerak “Experiencing Science: Enlightening Innovation” Tour di Sabah terus mencuri perhatian apabila berjaya merekodkan lebih 2,000 pengunjung sejak dibuka kepada umum pada 17 November 2025 di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kudat.

Program anjuran Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) ini merupakan inisiatif pendidikan interaktif bukan formal yang bertujuan mendekatkan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat, khususnya pelajar luar bandar. Melalui pendekatan berasaskan pengalaman, pengunjung berpeluang meneroka konsep sains secara langsung menerusi pelbagai bahan pameran interaktif dan inovatif.

Chong Chen Bin menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan Pameran Bergerak “Experiencing Science: Enlightening Innovation” Tour di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kudat.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Chong Chen Bin berkata, pameran tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah melalui KPSTI dan Guangxi Science and Technology Museum, Republik China.

Menurut beliau, kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 11 Julai 2023 di Beijing, sekali gus membolehkan Sabah menerima 61 bahan pameran sains bertaraf antarabangsa untuk dipamerkan selama tiga tahun di enam lokasi terpilih di seluruh negeri.

“Usaha memperkukuh pendidikan STEM perlu dipergiatkan berikutan penurunan enrolmen aliran tersebut di peringkat kebangsaan daripada 50.39 peratus pada 2024 kepada 47.46 peratus pada 2025,” katanya ketika merasmikan program berkenaan pada Jumaat.

Beliau menegaskan, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran STEM semakin meningkat selaras dengan perkembangan pesat sektor teknologi dan inovasi. Justeru, pendedahan awal melalui pendekatan interaktif diyakini mampu menyemai minat serta

Antara bahan pameran sains interaktif yang dipamerkan untuk tatapan pelajar, ibu bapa dan pengunjung sepanjang program berlangsung.

meningkatkan keyakinan pelajar terhadap bidang berkenaan.

“Pameran ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Kudat dan kawasan sekitarnya untuk menyemarakkan budaya ilmu, inovasi dan pemikiran saintifik demi masa depan generasi Sabah yang lebih cerah dan berdaya tahan,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha memperkasakan STEM memerlukan komitmen bersepadu melibatkan ibu bapa, pendidik, pihak sekolah dan kerajaan agar minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi terus diperkukuh secara berterusan.

Untuk rekod, pameran yang kini memasuki lokasi kelima itu dijangka beroperasi sehingga 31 Mac 2026 selepas menjelajah beberapa daerah lain di Sabah, sekali gus memperluas akses pendidikan sains berkualiti kepada komuniti luar bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda