Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Panas Melampau, Reptilia Berbisa Keluar dari Sarang

By 16 Februari 2026Februari 17th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Syamimi Aaizag Ibrahim/APM Pendang

PENDANG, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang berjaya menangkap seekor ular tedung selar yang dianggarkan sepanjang tiga meter dan seberat kira-kira lima kilogram di Kampung Kebun 4 Relong, Sungai Tiang, di sini kelmarin.

Operasi tangkapan telah dijalankan oleh beberapa anggota APM Daerah Pendang.

Muhammad Ramzan Ismail, 35, yang membuat panggilan kecemasan pada jam 5.14 petang, memaklumkan bahawa beliau telah menemui reptilia berbisa berkenaan di atas sebuah reban ayam berhampiran kediamannya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, LT. (PA) Yuslina Yusoff menasihati orang awam agar sentiasa menjaga kebersihan di sekitar kawasan kediaman yang berpotensi mengundang kehadiran haiwan berbisa, terutamanya dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

“Sebanyak tiga kes penemuan dan penangkapan ular tedung selar telah direkodkan di daerah ini sejak Januari 2026.

Lokasi penemuan ular tedung selar di Kampung 4 Relong, Sungai Tiang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera menghubungi APM Daerah Pendang atau talian kecemasan 999 jika berhadapan dengan sebarang situasi kecemasan melibatkan haiwan berbisa,” katanya.

Operasi menangkap ular berjaya diselesaikan pada jam 6.35 petang dengan menggunakan peralatan khas, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota mahupun orang awam.

-RI

Tinggalkan komen anda