
Laporan/foto: Nurulaini/Facebook Mohd Jafni Md Shukor
KULAI, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 200 penunggang motosikal dalam kalangan masyarakat Felda menerima manfaat menerusi Program Isi Minyak Motor Percuma yang diadakan di Felda Taib Andak, di sini semalam.
Program tersebut dilaksanakan sebagai inisiatif membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk setempat yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.

Salah seorang pemilik motosikal yang turut mengambil peluang menyertai Program Isi Minyak Percuma
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat secara langsung amat penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi kepimpinan negeri yang sering ditekankan oleh Menteri Besar Johor (Dato’ Onn Hafiz Ghazi) iaitu memahami cabaran kos sara hidup dan berusaha meringankan beban harian rakyat,” katanya.
Beliau menambah, program kebajikan seumpama itu akan terus diperkasa dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai masyarakat.
Program berkenaan turut mendapat sokongan padu komuniti setempat serta kerjasama pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
-AA-





