
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Kira-kira 5,000 pengunjung memeriahkan Pesta Tahun Baharu Cina 2026 Tawau yang menampilkan pelbagai pengisian kebudayaan serta mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

Lo Su Fui menyampaikan ucapan perasmian pada Pesta Tahun Baharu Cina 2026 yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung di Tawau, Sabtu.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui yang menzahirkan penghargaan kepada penganjur atas komitmen menjayakan acara tahunan itu.
“Perayaan ini bukan milik satu kaum sahaja. Kita dapat lihat penyertaan masyarakat pelbagai bangsa yang bersama-sama memeriahkan sambutan. Ini gambaran terbaik keharmonian unik yang kita miliki di Sabah.
“Tradisi seperti ini wajar diteruskan dan diperkukuh bagi memelihara perpaduan serta mempromosikan kepelbagaian budaya kepada generasi muda,” katanya ketika ditemui pada majlis itu, di sini, Sabtu.

Persembahan tarian singa menceriakan Pesta Tahun Baharu Cina 2026 Tawau sekali gus menarik perhatian ribuan pengunjung yang hadir di Tawau, kelmarin.
Menurut beliau, kehadiran ribuan pengunjung membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Tawau kekal kukuh dan menjadi asas penting kepada pembangunan komuniti selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Sambutan itu dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional, pertunjukan pakaian kebudayaan serta pelbagai aktiviti komuniti yang menarik penyertaan masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.
Penganjuran pesta berkenaan bukan sahaja mengangkat warisan budaya masyarakat Tionghoa, malah memperkukuh hubungan antara kaum di daerah ini.
-RJ-





