
Laporan/foto: Shafira Mat Hussin (Bachok)
BACHOK, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 200 beg darah disasarkan untuk dikumpulkan dalam Kempen Kesedaran dan Program Derma Darah anjuran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok yang berlangsung di Dewan IKTBN Bachok, semalam.

Pemeriksaan dan saringan kesihatan kepada para pelajar sebelum dipastikan layak untuk menderma darah.
Menurut Pegawai Seranta Jabatan Perubatan Transfusi HRPZ II Siti Rawaida Mohd Nor, satu beg darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa selepas diproses kepada komponen seperti sel darah merah, plasma dan platelet.
“HRPZ II bukan sahaja membekalkan darah ke hospital kerajaan dan swasta di Kelantan, malah turut memberi penekanan kepada kesedaran pendermaan darah dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Program dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu memberi tumpuan kepada kutipan darah menjelang Ramadan.
Keperluan darah di Kelantan dijangka meningkat daripada 20,000 beg pada 2025 kepada 30,000 beg pada 2026 susulan pertambahan hospital dan pesakit kronik seperti dialisis dan kanser.
Setiap penderma perlu melalui saringan kesihatan termasuk pemeriksaan hemoglobin sebelum menderma. Proses pendermaan hanya mengambil masa antara lima hingga 15 minit.

Wan Mohd Aqil antara yang terawal hadir menderma darah.
Seorang pelajar IKTBN Bachok Wan Mohd Aqil Asyraf Wan Mohd Jazree, 18, berkata pengalaman menderma darah mendorongnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Program turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta perkhidmatan Klinik Pergigian Bergerak dan Klinik Berhenti Merokok, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kesejahteraan masyarakat Kelantan.
-RI





