
Laporan/foto: Muhammad Danial Zakwan/Hamzah Bohari (Song)
SONG, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Projek membaik pulih Stadium Terbuka Song bernilai RM4.8 juta siap sepenuhnya pada 5 Dis 2025 selepas dilaksanakan selama 12 bulan bermula 25 Nov 2024 bagi meningkatkan kemudahan sukan penduduk di daerah ini.
Majlis pelancaran projek siap itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Siap Membaik Pulih Stadium Terbuka Song yang memperkukuh kemudahan sukan bagi penduduk Bahagian Kapit.
Projek berkenaan dilaksanakan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dan diuruskan Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi memperkukuh prasarana sukan serta menyokong pembangunan belia dan aktiviti komuniti di Bahagian Kapit.
Menurut Abdul Karim, penambahbaikan itu memberi tumpuan kepada susun atur ruang awam dan laluan pergerakan yang lebih teratur, mudah diakses serta mesra pengguna.
“Penambahbaikan ini sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna selain memaksimumkan potensi penggunaan stadium oleh komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, di sini, kelmarin.

Taklimat projek siap membaik pulih Stadium Terbuka Song disampaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi memaklumkan penambahbaikan dan kemudahan baharu kepada komuniti setempat.
Sebagai pengiktirafan, Stadium Terbuka Song berjaya memperoleh Class 2 Athletics Facility Certificate daripada World Athletics pada 19 Dis 2025, sekali gus membuktikan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa bagi penganjuran acara olahraga.
Stadium Terbuka Song merupakan kemudahan sukan utama di daerah ini yang menjadi lokasi penganjuran aktiviti sukan, program belia serta acara kemasyarakatan setempat.
-RJ-






