
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sarawak)
SRI AMAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Program Bubur Lambuk Madani 2026 di Surau Kampung Hilir berjaya menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuh perpaduan komuniti setempat melalui kerjasama pelbagai agensi.
Program anjuran bersama Jiranita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Hilir, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Haji Undom serta Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Hilir diadakan lebih awal sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, bubur lambuk bukan sekadar hidangan tradisional, malah simbol budaya dan sosial yang sarat makna, merangkumi aspek kemasyarakatan serta keagamaan.

Mahra Salleh bersama Temenggung Mohamad Shah Achang (tengah), Pemanca Abang Norin dan ketua masyarakat beramah mesra dengan penduduk kampung, menjayakan program bagi memperkukuh silaturahim dan menyantuni komuniti akar umbi di Sri Aman.
“Kepelbagaian ramuan dalam penyediaan bubur lambuk melambangkan kesepakatan dan semangat gotong-royong yang menjadi tunjang masyarakat MADANI. Setiap bahan yang digabungkan mencerminkan peranan individu dalam komuniti yang memberi manfaat kepada semua,” katanya ketika menyempurnakan simbolik pengagihan bubur lambuk di perkarangan surau, petang semalam.
Sementara itu, Temenggung Mohamad Shah Achang berkata, walaupun pelbagai makanan moden mudah diperoleh, bubur lambuk tetap kekal sebagai warisan budaya masyarakat Malaysia yang menjadi medium mengeratkan silaturahim serta menyantuni komuniti.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Mohamad Hamizan Yahya; Pemanca Abang Norin Abang Norudin; dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Surau Kampung Hilir, Salleh Taha.
-RJ-





