Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kuih Tradisi Jadi Tarikan Utama Pengunjung di Tamu Besar Tahun Baharu Cina

By 17 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Fauzrina Bulka / Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Kuih dan makanan tradisi kaum Cina menjadi pilihan pengunjung pada Tamu Besar Tahun Baharu Cina 2026 di Jalan Segama, dengan peniaga tempatan terus gigih memelihara warisan kulinari turun-temurun.

Selama lebih 30 tahun berniaga, peniaga kuih tradisional, Wong Choi Ping, 65, berkata beliau tetap meneruskan perniagaan kuih warisan keluarga bagi memastikan makanan tradisi itu terus dikenali generasi masa kini. Antara kuih yang disediakan termasuk Angku, kuih keladi, kocung, Fa Gao dan Kuih Pelangi.

Wong Choi Ping bersama suami dan anak-anak di gerai kuih tradisionalnya sempena Tamu Besar Tahun Baharu Cina 2026 di Jalan Segama, Kota Kinabalu, menarik pengunjung yang mencari makanan warisan budaya.

“Selagi ada permintaan, saya sediakan kuih tersebut. Syukur suami dan anak-anak turut membantu, jadi saya akan teruskan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi tamu, Ahad.

Seorang lagi peniaga makanan tradisi, Chong Sun Moi, 81, berkata produk seperti kuih rumpai laut serta kerepek ngaku perisa keju dan kerepek labu masih mendapat sambutan tinggi daripada pengunjung pelbagai kaum. Beliau turut menjual tanglung dan perhiasan lain yang dipelbagaikan mengikut citarasa moden.

Chong Sun Moi (tengah) bersama anak-anak di gerai menjual tanglung dan perhiasan dekorasi sempena Tamu Besar Tahun Baharu Cina 2026, menarik minat pengunjung kepada barangan tradisi perayaan.

“Walaupun tidak banyak gerai yang khusus menjual barangan perayaan, kami masih cuba menarik pelanggan melalui variasi makanan dan barangan tradisi,” katanya.

Turut menyemarakkan suasana, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, melakukan lawatan ke tamu berkenaan, diiringi Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sr. Lifred Wong, dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi, Robert Lipon.

Chan Foong Hin melawat para peniaga di Tamu Besar Tahun Baharu Cina 2026 di Kota Kinabalu sebagai tanda sokongan kepada aktiviti perniagaan dan semangat perayaan masyarakat berbilang kaum.

Tamu Besar Tahun Baharu Cina yang menempatkan lebih 600 lot gerai turut menarik kehadiran orang ramai untuk membeli-belah barangan keperluan perayaan, makanan tradisi serta aksesori sambutan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat tempatan menjelang perayaan terbesar masyarakat Cina di Sabah.

Selain di tapak utama, sejumlah 74 lot gerai tambahan dibuka di kawasan Foh Sang, yang turut dikawalselia oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

-RJ-

Tinggalkan komen anda