
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan sindiket pengedaran minuman keras serta menyita 32 kenderaan mewah menerusi operasi khas yang melibatkan nilai rampasan serta cukai keseluruhan mencecah RM36,276,213.

Sebanyak 572,928 tin minuman keras ditemui dalam lima kontena di sebuah gudang dan disita dengan anggaran cukai serta duti berjumlah RM12.28 juta
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata kejayaan tersebut hasil risikan berterusan dan pelaksanaan operasi khas bertema Ops Terma yang dijalankan di seluruh negeri itu bermula awal Januari lalu.
Dalam kes pertama, Aminul Izmeer memaklumkan Unit Operasi Darat Bahagian Penguatkuasaan dengan kerjasama Cawangan COBRA Ibu Pejabat telah menyerbu sebuah gudang di sekitar Kulai pada jam 11 malam, 20 Jan lepas.
“Hasil pemeriksaan menemukan 572,928 tin minuman keras atau 286,464 liter yang dipercayai disimpan secara haram untuk pasaran tempatan.
“Nilai barangan dianggarkan berjumlah RM2.57 juta, manakala jumlah cukai dan duti yang terlibat mencecah RM12.27 juta. Turut disita sebuah lori dan lima buah kontena bersaiz 40 kaki yang digunakan sindiket tersebut,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.

Ops Terma turut menyasarkan kenderaan import, termasuk dari Singapura, yang dibawa masuk tanpa permit sah
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai pusat transit bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Kes berkenaan katanya disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mengulas mengenai kes kedua, beliau berkata Ops Terma bermula 5 Jan hingga 6 Feb lepas berjaya membuahkan hasil melalui 223 pemeriksaan ke atas gudang berlesen dan rondaan darat.
“Sehingga 27 Jan, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka yang membawa kepada penangkapan empat individu serta sitaan 32 buah kenderaan mewah.
“Kenderaan tersebut disita atas pelbagai kesalahan termasuk dibawa masuk dari Singapura tanpa permit import (AP) yang sah serta pelanggaran syarat tempoh simpanan di bawah Seksyen 65 dan Seksyen 75 Akta Kastam 1967.
“Nilai keseluruhan kenderaan yang dirampas dianggarkan sebanyak RM7.28 juta dengan melibatkan implikasi cukai berjumlah RM14.09 juta,” jelas beliau.
-AA-





