
Laporan/foto: Anuar Che Amat/Facebook Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN)
PADANG BESAR, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Industri kenaf tidak lagi boleh dilihat sekadar tanaman sampingan, sebaliknya kini muncul sebagai penyumbang strategik kepada kelestarian industri komoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata industri kenaf negara sedang dalam transisi penting untuk diangkat sebagai komoditi masa hadapan yang bersifat mesra alam atau green commodity.
Menurutnya, penanaman kenaf (Hibiscus cannabinus L.) kini muncul sebagai ’emas hijau’ baharu yang berpotensi mengubah landskap sosioekonomi negara, khususnya di negeri Perlis.

Penyampian angerah kepada para pengusaha kenaf yang mencatatkan penegeluaran terbanyak.
“Dengan sokongan padu daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), komoditi ini bukan sahaja menggantikan tanaman tradisional seperti tembakau, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan industri hijau negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, di Dewan Bukit Keteri, Beseri, di sini semalam.
Tambah beliau, cuaca panas dan kering di Perlis menjadikan negeri ini sangat ideal untuk pengeluaran kenaf berkualiti tinggi.
“Apa yang menarik, penanaman kenaf turut melahirkan ramai usahawan berasaskan kenaf, antaranya penghasilan cendawan menggunakan sisa kenaf dan padi, kenaf sebagai bahan utama diet makanan kucing menerusi produk Ecovet, serta potensi daun kenaf sebagai minuman teh yang baik untuk kesihatan,” jelasnya.
Perlis merupakan pusat utama pengeluaran biji benih kenaf, khususnya di kawasan Padang Besar dan Chuping yang dahulunya didominasi oleh tanaman tebu dan tembakau.
Pada tahun 2025, LKTN telah berjaya memproses sebanyak 70 metrik tan biji benih kenaf.
Penyampaian bayaran hasil biji benih kenaf bagi musim 2025/2026 kepada penanam kenaf di Perlis dan anugerah kepada tiga penanam yang berjaya mencatatkan hasil tertinggi pengeluaran kenaf di samping penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 30 golongan asnaf serta 50 orang anak yatim.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengerusi LKTN Datuk Seri Ir. Dr. Me Alwi Che Ahmad.
-RI





