Skip to main content
Berita TempatanSarawak

TBS Buka Kaunter Zakat Fitrah di Masjid Bandar Sri Aman

By 24 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 24 Feb (MalaysiaAktif)Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) membuka kaunter kutipan zakat fitrah di perkarangan Masjid Bandar Sri Aman bagi memudahkan umat Islam di daerah ini menunaikan kewajipan tersebut sepanjang Ramadan 1447H.

Amil yang dilantik, Awang Mustapha Awang Lamudin berkata kaunter berkenaan beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 4 petang bagi menguruskan pembayaran secara bersemuka.

Menurutnya, inisiatif itu memastikan kutipan dilaksanakan secara telus mengikut kadar yang ditetapkan pihak berkuasa agama, selain memberi bimbingan lafaz akad zakat kepada pembayar.

“Tugas kami bukan sekadar mengutip bayaran, tetapi memastikan setiap pembayar dapat menyempurnakan ibadah dengan akad yang betul. Kehadiran amil di lokasi tumpuan seperti masjid memudahkan jemaah yang lebih selesa berurusan secara tradisional,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau turut menasihati umat Islam agar tidak menunggu sehingga saat akhir atau ‘malam tujuh likur’ untuk menunaikan zakat fitrah.

“Pembayaran lebih awal amat digalakkan bagi membolehkan TBS menyelaras agihan kepada golongan asnaf dengan lebih efisien sebelum menjelang Aidilfitri,” tambahnya.

Seorang pembayar, Hassan Suhaili berkata langkah proaktif itu memudahkan urusan tanpa perlu ke pejabat zakat yang lebih jauh.

“Penyediaan kaunter di perkarangan masjid sangat membantu. Selain menunaikan kewajipan, ia juga menjadi medium penyucian jiwa dan saluran membantu golongan asnaf melalui agihan yang sistematik,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda