
Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/KPDN Negeri Pahang
KUANTAN, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang melaksanakan Ops Pantau 2026 bagi memastikan kestabilan bekalan serta pematuhan harga sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Sim Chon Siang berkata sepanjang tempoh tersebut, Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Pahang ditempatkan di beberapa lokasi strategik dan tumpuan pengguna di seluruh negeri bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh.

Sim Chon Siang ketika sesi turun padang sempena Ops Pantau 2026 bersama Pengarah dan beberapa pegawai KPDN Negeri Pahang.
“Antara lokasi sasaran pemeriksaan ialah pasar raya, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri serta premis penjualan secara dalam talian.
“Penugasan ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika,” katanya ketika sesi turun padang Ops Pantau 2026 di Bazar Ramadan Indera Mahkota 3, di sini semalam.
Turut hadir Pengarah KPDN Negeri Pahang Jezlily Jamaluddin.
Tambahnya, skop pemeriksaan memberi tumpuan kepada bekalan dan harga barangan yang menjadi keutamaan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri termasuk gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.

Sim Chon Siang sempat beramah mesra dengan pengunjung bazar Ramadan tersebut.
“Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan Akta serta perundangan subsidiari di bawah KPDN,” tegasnya.
Pemeriksaan turut memastikan setiap barangan dipamerkan dengan tanda harga yang jelas, tiada aktiviti pencatutan berlaku dan barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum yang telah diwartakan oleh kerajaan.
Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 102 kes telah dihasilkan dengan nilai kompaun berjumlah RM18,600.
-RI





