
Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/Pejabat DUN Muadzam Shah
MUADZAM SHAH, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM1.28 juta menerusi Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) kepada petugas institusi masjid di seluruh negeri sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka.
Bantuan itu melibatkan penerima terdiri daripada imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim, pengurus jenazah serta badan khairat kematian di seluruh Pahang.

Ir. Razali Kassim ketika menyampaikan ucapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Ir. Razali Kassim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata bantuan berkenaan adalah manifestasi komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan petugas agama.
“Bantuan ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi tanda penghargaan kerajaan terhadap peranan penting imam, bilal dan seluruh petugas masjid yang menjadi tulang belakang pembangunan rohani masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan tersebut yang berlangsung di Masjid Muadzam Shah, di sini semalam.
Penghargaan turut dirakamkan kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang sentiasa konsisten dalam memperkukuh serta menjaga kebajikan institusi agama Islam di negeri ini.

Penerima sumbangan mengabdikan kenangan bersama Ir. Razali Kassim yang mewakili Menteri Besar Pahang.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan kebajikan petugas institusi agama diberi perhatian sewajarnya kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berakhlak,” katanya.
Bagi daerah Muadzam Shah, seramai 278 penerima menerima bantuan melibatkan 37 imam, 81 bilal, 59 siak, 13 badan khairat kematian, 27 guru takmir dan 22 wali hakim dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM58,800.
Sementara itu, daerah Rompin menyaksikan seramai 176 penerima menerima manfaat melibatkan 76 imam, 41 bilal, 39 siak, 24 badan khairat kematian, 22 guru takmir dan 13 wali hakim dengan jumlah peruntukan sebanyak RM38,900.
Inisiatif ini diharap dapat terus menyemarakkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan penyatuan ummah di negeri Pahang.
-RI





