Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

SejaTi MADANI: Komuniti Usahawan Simpang Kallang Laksana Projek Ternakan Ikan Bioflok

By 26 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azree Zaki (Raub)

RAUB, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Komuniti Usahawan Simpang Kallang melakar kejayaan dalam projek ternakan ikan air tawar berasaskan sistem bioflok menerusi peruntukan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjumlah RM100,000.

Pengerusi Komuniti Usahawan Simpang Kallang Md Shafri Mohd Noh berkata projek tersebut memfokuskan kepada penternakan ikan tilapia merah dan ikan patin yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Ikan tilapia merah mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.

“Melalui sistem bioflok, kos makanan dapat dikurangkan sehingga 30 peratus kerana mikroorganisma dalam kolam membantu menjadi sumber protein tambahan kepada ikan.

“Ini sekali gus meningkatkan kadar tumbesaran dan kualiti hasil,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Projek yang digerakkan secara gotong-royong itu melibatkan pembinaan beberapa kolam kanvas berteknologi bioflok, pemasangan sistem pengudaraan serta latihan pengurusan ternakan bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk setempat selain memperkukuh agenda keterjaminan makanan di peringkat komuniti.

Dengan pelaksanaan projek itu, Komuniti Usahawan Simpang Kallang membuktikan bahawa peruntukan SejaTi MADANI mampu dimanfaatkan secara optimum untuk memperkasa ekonomi rakyat dan menyokong agenda pembangunan komuniti secara lestari.

Danas Zamanhuri, salah seorang peserta projek ketika ditemu bual Malaysia Aktif.

Seorang peserta projek, Danas Zamanhuri Osman, 60, berkata program SejaTi MADANI memberi peluang kepada komuniti untuk merancang dan melaksanakan projek berimpak tinggi secara inklusif dan mampan.

“Peruntukan yang diterima telah digunakan sepenuhnya bagi penyediaan infrastruktur, pembelian benih ikan, makanan ternakan serta peralatan sokongan,” katanya.

Program SejaTi MADANI adalah inisiatif di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

-RI

Tinggalkan komen anda