
Laporan/foto: Mohd Faizal Daros/Al-Mokhlis (Muar)
MUAR, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Parit Baru optimis mampu melahirkan jenama buah melon tempatan tersendiri sekali gus memperkasakan sosioekonomi penduduk setempat.

Sebahagian buah melon sudah boleh di petik untuk di jual ke pasaran tempatan
Penyelaras Projek, Rosli Abu berkata meskipun tanaman melon bukan perkara baharu di kawasan tersebut, namun beliau bersama ahli jawatankuasa komited memastikan hasil pengeluaran kali ini mencapai standard kualiti yang mampu dikenali ramai.
“Kami memilih varieti Golden Melon untuk diusahakan kerana keunikan isinya yang manis selain faktor harga pasaran yang sangat memuaskan.
“Tanaman ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk dituai. Insya-Allah, tuaian sulung bagi projek ini dijangka dapat dilaksanakan pada hujung minggu ini,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Mengulas mengenai cabaran penanaman, Rosli menjelaskan bahawa pokok melon merupakan tanaman yang sensitif dan memerlukan penjagaan rapi bagi menjamin kualiti buah.

Lokasi bagi Program Sejati MADANI di Parit Baru
“Kami memastikan setiap pokok hanya menghasilkan sebiji buah bagi menjaga gred dan kualitinya. Walaupun tanaman ini hanya dituai sekali, namun tempoh untuk mengeluarkan hasil adalah sangat singkat,” katanya.
Rosli berkata projek ini memberi ruang kepada komuniti setempat terlibat dalam sektor agromakanan dan hasil jualannya dijadikan modal pusingan untuk kelangsungan projek pada masa hadapan.
“Keuntungan dan hasil tuaian akan diagihkan kepada ahli komuniti yang terlibat sebagai menghargai kerjasama sukarela mereka,” katanya.
-AA-





