
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Mohd Khairul Abd Razab (Gua Musang)
GUA MUSANG, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Chiku 3 meriah apabila ratusan pengunjung mula membanjiri tapak bazar seawal jam 4 petang bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Siti Noraini (kiri) ketika ditemu bual.
Bazar berkenaan menempatkan lebih 40 gerai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman tradisional serta moden.
Antara juadah yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk nasi kerabu, ayam percik, murtabak, kuih-muih tradisional serta air balang pelbagai perisa.
Seorang peniaga, Siti Noraini Abdullah, 32, berkata sambutan pengunjung pada minggu pertama Ramadan tahun ini amat menggalakkan dan menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
“Alhamdulillah, jualan habis hampir setiap hari. Orang ramai datang lebih awal untuk elakkan kesesakan dan cuaca panas,” katanya ketika ditemui di tapak bazar berkenaan, baru-baru ini.

Temu bual bersama Mohd Faizal, salah seorang pengunjung Bazaar Ramadhan Chiku 3.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Faizal Ismail, 58, menyifatkan Bazar Ramadan Chiku 3 sebagai lokasi pilihan utama kerana kepelbagaian makanan yang ditawarkan dengan harga berpatutan serta mudah diakses.
Pihak penganjur turut menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan dengan menyediakan tong sampah tambahan serta menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan persekitaran bazar sentiasa bersih dan selamat.
Dengan sokongan padu komuniti setempat, Bazar Ramadan Chiku 3, dijangka terus menjadi nadi ekonomi kecil serta medan mengeratkan silaturahim sepanjang bulan Ramadan.
-RI





