
Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sarawak)
SIBU, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Taktik menyimpan rokok dan minuman keras tidak berkastam di sebuah rumah kosong akhirnya terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu berjaya merampas barangan bernilai lebih RM1.36 juta dalam satu serbuan, 10 Feb lepas.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata serbuan pada 9.20 pagi itu hasil maklumat Zon Risikan Sarawak oleh sepasukan Pegawai Kastam Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu di sebuah premis di Jalan Teku Lama.
Sindiket berkenaan katanya dikesan menggunakan rumah yang tidak berpenghuni sebagai lokasi penyimpanan bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan mereka dihidu.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah rokok dan minuman keras yang disyaki melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 sebelum kesemua barangan terbabit disita untuk tindakan lanjut,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000, dan maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, selain hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Komitmen berterusan JKDM dalam membanteras penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat Kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.
-FN






