Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Chap Goh Mei Siniawan Gamit Nostalgia Pekan Lama

By 5 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Felix Harus (Sarawak)

BAU, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Deretan kedai kayu berusia lebih seabad di Pekan Lama Siniawan kembali meriah apabila ribuan pengunjung membanjiri kawasan itu sempena sambutan Chap Goh Mei 2026, di sini semalam.

Pekan yang dikenali sebagai “Pekan Koboi Sarawak” itu menampilkan suasana unik yang membawa pengunjung mengimbau kehidupan masyarakat pada era 1920-an setiap kali tibanya perayaan penutup Tahun Baharu Cina.

Seni bina kedai kayu tradisional yang masih terpelihara turut dihiasi lampu tanglung berwarna-warni sekali gus menambah seri suasana malam di pekan bersejarah tersebut.

Pengunjung setia, Kuek Kim Ho, 68, berkata suasana di Pekan Lama Siniawan sentiasa mengingatkannya kepada kenangan lampau yang jarang ditemui di tempat lain.

Kuek Kim Ho (kiri) berbual dengan pengunjung, Losseyfer Molly ketika mengunjungi Pekan Lama Siniawan sempena sambutan Chap Goh Mei 2026 yang mengimbau nostalgia suasana pekan lama di Bau.

“Siniawan bukan sekadar pekan lama, tetapi mengingatkan saya kepada nostalgia dengan suasana seolah-olah membawa kita kembali ke era 1920-an,” katanya ketika ditemui di pekan itu semalam.

“Setiap kali sambutan Chap Goh Mei diadakan di sini, suasananya sentiasa terasa istimewa kerana kehangatan komuniti dan keindahan seni bina tradisional yang masih kekal,” katanya.

Beliau berharap warisan Pekan Lama Siniawan terus dipelihara sebagai tarikan pelancongan budaya yang mampu menjana ekonomi komuniti setempat.

Sambutan Chap Goh Mei 2026 sekali lagi menarik kehadiran orang ramai yang ingin merasai pengalaman suasana pekan lama yang unik di Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda