
Laporan/foto: Senie Endin (Betong)
BETONG, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 500 ketua isi rumah (KIR) menerima bantuan tunai dan bakul makanan berjumlah keseluruhan RM250,000 menerusi Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan 1447H yang dilaksanakan di Kompleks Kerajaan Negeri Betong, di sini semalam.

Jasni Jubli berharap bantuan Program Sejahtera MADANI dapat membantu golongan sasar keluar daripada arus kemiskinan pada majlis yang diadakan di Kompleks Kerajaan Negeri Betong.
Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program yang dijalankan secara berperingkat di seluruh Sarawak sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Dato Jasni Jubli berkata program berkenaan merupakan usaha kerajaan memastikan golongan miskin tegar dan miskin terus menerima bantuan sewajarnya.
“Program Sejahtera MADANI ini merupakan inisiatif penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta membantu golongan sasar keluar daripada arus kemiskinan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut semalam.
“Kerajaan komited membantu rakyat melalui pendekatan menyeluruh termasuk aspek kebajikan dan pendidikan sebagai teras utama memutuskan rantaian kemiskinan,” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 45 pelajar institusi pengajian tinggi yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih turut menerima bantuan menerusi Program Sejahtera MADANI Pendidikan – Kasih Siswa dengan jumlah peruntukan RM65,250.
Bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban penerima selain memberi sokongan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian.
-RJ-





