
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Datuk Jamawi Jaafar (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membentangkan laporan siasatan insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api dan motor troli di Tenom pada Selasa lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu hadapan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata laporan awal daripada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah diserahkan kepadanya dan dipanjangkan kepada pejabat Ketua Menteri Sabah semalam.
“Susulan kejadian perlanggaran railbus dengan troli di KM134/4 Pangi, Tenom pada 3 Mac lepas, saya telah meminta laporan daripada Pengarah JKNS dan laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin

Motor troli milik penduduk rosak teruk selepas dilanggar kereta api dalam insiden di laluan KM134/4 Pangi, Tenom sekitar jam 7 pagi pada Selasa.
“Laporan ini juga telah dipanjangkan kepada pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini dan saya akan membentangkan laporan siasatan tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JKNS memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan siasatan dalaman melalui Badan Penyiasatan Dalaman selaras dengan prosedur penyiasatan yang berkuat kuasa.
JKNS turut memaklumkan kemalangan tersebut berlaku pada Selasa lepas di KM134/4 di landasan kereta api Tenom ke Pangi.
Pihak JKNS juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Tenom bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Untuk rekod, perkhidmatan kereta api yang membawa penumpang termasuk guru Sekolah Kebangsaan Pangi mengalami masalah brek sebelum berlanggar dengan motor troli.
Bagaimanapun insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
RJ-





