
Laporan/foto: Nurhayati Abdul Halim/Mohd. Haffis Seria (Sarawak)
MATU, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Ibadah puasa bukan sahaja melatih ketahanan diri malah mendidik jiwa supaya sentiasa berpegang kepada nilai amanah dan integriti dalam kehidupan seharian.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata ibadah puasa juga mendidik manusia supaya sentiasa jujur dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan.

Juanda Jaya dalam ucapan perasmiannya menjelaskan ibadah puasa mendidik manusia supaya sentiasa jujur dan bertanggungjawab.
“Ramadan menjadi ruang terbaik untuk mendidik jiwa dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan membaca al-Quran, bertadarus dan memperbanyakkan ibadah agar nilai integriti terus subur dalam diri setiap individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Integriti, Ihya Ramadan dan Iftar Jamaei 1447H/2026M di Masjid Hidayatul Kampung Jemoreng, di sini semalam.
Pegawai Eksekutif Unit Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Mukah Muhd Faiz Kadir berkata ketakwaan merupakan asas utama dalam membentuk insan yang berintegriti tinggi.

Muhd Faiz Kadir dalam Ceramah Integritinya menegaskan ketakwaan merupakan asas utama dalam membentuk insan berintegriti tinggi.
“Nilai ketakwaan menjadikan seseorang sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatan serta mampu membezakan antara yang benar dan yang salah.
“Nilai ini perlu sentiasa dipupuk dan dipertingkatkan dalam diri setiap individu,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Integriti pada program berkenaan.
Program tersebut turut diisi dengan agihan bakul makanan kepada golongan asnaf oleh Jabatan Integriti dan Ombudsman Sarawak selain majlis berbuka puasa serta solat tarawih berjemaah.
-RJ-





