Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kanak-Kanak Sembilan Tahun Maut Dalam Kebakaran Rumah di Sri Aman

By 7 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal di Taman Sentosa Indah, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Ahmad Arfan Shah, dipercayai terperangkap di tingkat atas kediaman tersebut manakala lima lagi penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rais Adham berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.02 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian.

Menurut beliau, lima penghuni yang terselamat mengalami kecederaan melecur, termasuk seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun, dua wanita dewasa serta dua remaja.

“Operasi pemadaman melibatkan tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.27 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 5.35 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa katanya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Selain memusnahkan struktur rumah, kejadian tersebut turut menyebabkan kerosakan pada dua buah kenderaan serta sebuah motosikal.

Punca kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda