Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Komuniti Rumah Panjang Perlu Bersatu Pacu Pembangunan Pakan

By 7 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Boniface Watt Su / Ignatius Golen Sugai (Sarawak)

PAKAN, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Komuniti rumah panjang di daerah ini diseru supaya terus bersatu, berpandangan jauh dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kawasan Pakan terus bergerak maju seiring arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata masyarakat luar bandar perlu memahami bahawa usaha membawa kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan jalan raya ke kawasan pedalaman memerlukan proses perancangan, penyelarasan serta kelulusan yang mengambil masa.

William Mawan menyeru komuniti Rumah Seliang, Pakan bersatu dan berpandangan jauh semasa Majlis Mesra Rakyat semalam.

“Komuniti rumah panjang juga perlu mengenal pasti keperluan pembangunan mereka sendiri agar tidak terus ketinggalan, seiring dengan kemajuan yang dinikmati kawasan lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Rakyat di Rumah Seliang, Sungai Marau, Buku, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan Pejabat Daerah Pakan baharu bersama kuarters kakitangan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada penduduk setempat.

Penduduk rumah panjang dari semua peringkat usia meriahkan Majlis Mesra Rakyat di Rumah Seliang, Pakan.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan hantaran di media sosial yang memperlekehkan usaha pembangunan kerajaan di kawasan tersebut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda