Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

532 Kompaun Serta Merta Dikeluarkan Menerusi Op Pantau 2026

By 8 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/KPDN Negeri Pahang

KUANTAN, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 532 kompaun serta-merta bernilai RM143,400 terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan yang dikesan dalam Ops Pantau 2026 di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata operasi dijalankan hasil 892 aduan yang diterima sejak 19 Feb hingga Jumaat lepas dengan nilai rampasan direkodkan berjumlah hampir RM3 juta.

Beliau berkata dalam tempoh itu sebanyak 36,510 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara dengan 696 kes telah direkodkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga.

Dr. Fuziah meninjau salah sebuah gerai di Bazar Mahkota Square.

“Bagi pemantauan khusus di bazar Ramadan pula, sebanyak 12,794 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan hanya lapan kes direkodkan setakat ini, masing-masing melibatkan dua kes di Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak serta satu kes di Perak dan Putrajaya.

“Di samping penguatkuasaan, KPDN melalui Bahagian Penguat Kuasa turut memperkenalkan Program PATUH di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) sebagai pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi jelajah mesra Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Timur di Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini semalam.

Pelaksanaan BRR yang memasuki tahun keempat sejak 2023 ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH MADANI yang bertujuan membantu menangani kos sara hidup rakyat sepanjang bulan Ramadan.

Pelaksanaan PATUH di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) sebagai pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga.

BRR pada tahun ini melibatkan 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan kira-kira 3,000 peniaga.

“Bagi negeri Pahang, tujuh lokasi BRR telah dilaksanakan dengan kerjasama strategik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Selain di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan, BRR turut dilaksanakan di Bazar Ramadan Bandar Bera, Bazar Ramadan Bandar Jerantut, Bazar Ramadan Mempaga, Bazar Ramadan Muadzam Shah, Bazar Ramadan Bandar Raub dan Bazar Ramadan Bukit Semantan, Temerloh,” katanya.

Beliau menjelaskan di semua lokasi BRR itu, peniaga menyediakan pelbagai pilihan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang seimbang dan berpatutan.

-RI

Tinggalkan komen anda