
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan serta memasyhurkan nama baharu Masjid Tengku Hajah Aishah Mandak di Pulau Serai, di sini semalam.
Majlis tersebut diadakan bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran, dengan bacaan Yasin dan tahlil buat Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, ayahanda baginda Sultan Pahang.

Sultan Pahang beramah mesra dengan pelajar-pelajar sekolah yang hadir
Keberangkatan baginda disambut para pemimpin negeri, pegawai kerajaan serta penduduk setempat yang hadir bagi menyaksikan detik bersejarah pemasyhuran nama baharu masjid berkenaan.
Pada majlis tersebut, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian sebagai tanda rasmi pemasyhuran nama Masjid Tengku Hajah Aishah Mandak yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Pulau Serai.
Pemasyhuran nama baharu ini dilihat sebagai satu penghormatan serta penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Tengku Hajah Aishah Mandak kepada masyarakat setempat serta perkembangan syiar Islam di kawasan berkenaan.

Sultan Pahang menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Salah seorang penduduk, Mohd Azman Ali, 48, berkata keberangkatan Baginda serta pemasyhuran nama baharu masjid tersebut menjadi satu kebanggaan besar kepada penduduk Kampung Pulau Serai.
“Ini merupakan satu penghormatan kepada kami sebagai masyarakat di sini. Dengan nama baharu ini, kami berharap masjid ini akan terus dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan menjadi pusat penyatuan masyarakat,” katanya.
Masjid Tengku Hajah Aishah Mandak dijangka terus memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah, pendidikan agama serta aktiviti kemasyarakatan bagi penduduk sekitar Pulau Serai dan kawasan berhampiran.
-RI





