
Laporan/foto: Ahmad Suhaimi Mokhtar/Rajeswari Anbazagan
KUALA LUMPUR, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 1,200 orang asnaf di Parlimen Lembah Pantai menerima sumbangan persiapan sambutan Hari Raya Aidifitri pada Program Iftar Perdana Parlimen Lembah Pantai, kelmarin.

Fahmi menyampaikan ucapan perasmian majlis.
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan keseluruhan berjumlah RM180,000 itu diharapkan dapat memupuk semangat muafakat antara ahli masyarakat agar sentiasa prihatin terhadap nasib golongan rentan.
“Semoga sumbangan ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan yang memerlukan, namun begitu dapat mengeratkan ikatan ukhuwah dan persaudaraan khususnya di kalangan warga Lembah Pantai”, katanya ketika berucap di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, di sini.
Salah seorang penerima sumbangan, Mohd Hanif Othman, 49, menyampaikan penghargaan terima kasih dengan pemberian sumbangan tersebut.
“Syukur kerana bantuan ini dapat meringankan sedikit beban keluarga saya untuk membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.

Menteri Komunikasi ketika lawatan ke reruai Kempen Internet Selamat (KIS) di Bazar IWK Eco Park.
Terdahulu Fahmi turut meluangkan masa menyantuni komuniti setempat dan mengedarkan kit Kempen Internet Selamat (KIS) sempena penganjuran Program KIS@Bazar Ramadan di IWK Eco Park.
Kempen turun padang anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tersebut diadakan secara serentak di 19 lokasi Bazar Ramadan seluruh negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan Agrobank Fairoshawal Idrus dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
-RI





