Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Puteh & Kayu Terajui Seni Kraf Laser Berkualiti di Sibu

By 9 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaini Morshidi/Sa’adi Pasong (Sibu)

SIBU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Puteh & Kayu muncul sebagai premis kraf unik di Sibu yang menawarkan seni kraf kayu eksklusif menggunakan teknologi ukiran laser.

Premis tersebut menggabungkan teknologi laser berketepatan tinggi dengan material kayu asli bagi menghasilkan ukiran halus dan berkualiti premium.

Pengusahanya, Ambari Osman, 38, berkata idea penubuhan premis itu tercetus selepas beliau mendapati ketiadaan perkhidmatan kraf kayu khusus di Sibu yang menyebabkan pelanggan sebelum ini terpaksa membuat tempahan dari luar Sarawak.

Ambari menunjukkan salah satu hasil yang dibuat menggunakan laser dan kayu.

“Matlamat utama saya adalah membantu warga Sibu mendapatkan hasil kraf berkualiti dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung kepada pembekal dari luar,” katanya kepada MalaysiaAktif ketika ditemui di premis berkenaan di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan mesin laser membolehkan ukiran dihasilkan dengan teliti dan tempahan dapat disiapkan dalam tempoh antara tiga minit hingga satu jam bergantung kepada kerumitan rekaan.

Beliau berkata material yang digunakan ialah kayu lapis semula jadi (natural plywood) dan kayu lapis berlamina (laminate plywood) berkualiti tinggi bagi memastikan setiap hasil kerja tahan lama serta mempunyai kemasan premium.

Produk yang paling mendapat sambutan ialah bingkai gambar kustom dan plak penghargaan yang menjadi pilihan jabatan kerajaan, syarikat swasta, sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Keunikan hasil dari Keunikan hasil kraf kayu yang dihasilkan menjadi tarikan kepada pelanggan.

Pelanggan dinasihatkan membuat tempahan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal bagi memastikan proses reka bentuk dan kemasan dapat disiapkan dengan baik.

Selain kraf kayu, Puteh & Kayu turut menawarkan perkhidmatan penyediaan banner, bunting, cenderamata perkahwinan, hadiah persaraan serta pelbagai produk kraf kustom mengikut kehendak pelanggan.

Kehadiran premis tersebut membuktikan bahawa usahawan tempatan mampu memanfaatkan teknologi moden bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri kreatif di Sibu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda