
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Pokok Sena)
POKOK SENA, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menyalurkan bantuan kepada 200 golongan asnaf fakir dan miskin sebagai persiapan menyambut Syawal di Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Pokok Sena, semalam.

Ucapan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga merupakan Yang Dipertua MAIK berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih dengan masing-masing menerima wang tunai RM300 serta kuih raya.
Penerima adalah daripada empat kariah masjid di daerah Pokok Sena iaitu Masjid An Nur Pekan Pokok Sena, Masjid Al Huda Kampung Pokok Sena, Masjid Ar Raudhoh Kampung Sungai Durian dan Masjid Ar Rahman Pokok Sena.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada agihan bantuan Aidilfitri MAIK yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM644 ribu, memanfaatkan seramai 3,120 penerima dalam kalangan golongan asnaf dan individu yang memerlukan di negeri ini.
Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) Abd Ghani Zainuddin berkata sumbangan yang disalurkan merupakan satu amanah dan tanggungjawab sosial bagi memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Antara penerima-penerima sumbangan yang hadir.
“Pemberian sumbangan pada hari ini bukan sekadar satu bentuk bantuan material, tetapi ia adalah lambang kasih sayang, persaudaraan dan keprihatinan dalam masyarakat. Amalan bersedekah dan berkongsi rezeki dijanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda.
“Diharapkan sumbangan yang disalurkan mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT. Semoga bantuan yang diterima ini dapat memberi sedikit kegembiraan serta menghadirkan senyuman dalam menyambut kedatangan Syawal dalam suasana yang lebih ceria dan penuh kesyukuran,” katanya ketika berucap.
-RI





