Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

MCMC Perlis Bakal Perbanyak Sesi Taklimat KIS

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

ARAU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis akan memperbanyakkan sesi taklimat Kempen Internet Selamat (KIS) di rumah-rumah ibadat bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat berhubung keselamatan digital.

Pengarahnya Norrazlina Nordin berkata selain masjid, program tersebut juga akan dianjurkan di rumah-rumah ibadat agama lain di seluruh negeri itu.

“Ini bertujuan agar penyampaian maklumat berkaitan keselamatan Internet dapat disebarluaskan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Program ini juga memberi penjelasan lanjut mengenai cara penggunaan talian Internet dengan betul dan selamat kepada kanak-kanak serta penduduk kampung,” katanya pada sesi taklimat bersama belia serta penduduk Pekan Pauh di Masjid Al Mursyid, di sini baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu berkata Internet selamat merujuk kepada penggunaan teknologi digital secara berwaspada, bertanggungjawab dan beretika bagi melindungi diri daripada ancaman siber seperti penipuan, buli siber dan penyebaran kandungan tidak sahih.

Pada program tersebut, MCMC turut memberi penerangan mengenai aplikasi MCMC Nexus, iaitu aplikasi mudah alih rasmi daripada suruhanjaya berkenaan yang membolehkan pengguna mengukur, memantau serta membantu meningkatkan kualiti rangkaian Internet seperti 4G, 5G dan Wi-Fi secara masa nyata.

Aplikasi tersebut juga membolehkan pengguna menyemak kelajuan, liputan serta prestasi rangkaian, dengan data yang dihantar terus kepada pihak MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan.

-RI

Tinggalkan komen anda