
Laporan/foto: Salleh Immun/JPNIN Mukah (Mukah)
MUKAH, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 76 murid daripada lima kelas Tabika Perpaduan di Bahagian Mukah menerima Starter Kit Tabika Perpaduan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Mukah.
Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Siti Nurfatimah Hussen berkata program tersebut merupakan usaha kerajaan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara melalui rangkaian Tabika Perpaduan di seluruh negara bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan barangan keperluan sekolah anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Starter Kit Tabika Perpaduan di sini kelmarin.

Siti Nurfatimah Hussen (belakang, dua kanan) merakamkan gambar bersama ibu dan murid setelah menerima Starter Kit.
Starter Kit yang diberikan mengandungi beberapa keperluan asas pembelajaran seperti beg sekolah, alat tulis serta barangan lain yang digunakan sepanjang sesi pembelajaran di tabika.
Siti Nurfatimah berkata pendidikan prasekolah memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan awal kanak-kanak dari segi akademik, sosial dan emosi.
“Melalui pendidikan awal yang berkualiti, kanak-kanak bukan sahaja mempelajari asas membaca, menulis dan mengira malah turut didedahkan kepada nilai perpaduan dan kerjasama,” ujarnya.
-RJ-





