
Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat (Perlis)
ARAU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Program Bufet Ramadan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) 2026 bukan sahaja menawarkan pengalaman berbuka puasa kepada pengunjung, malah menjadi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program yang bermula Isnin lepas hingga Jumaat ini di Santai Minda Pauh Inn, PTSS dianjurkan oleh Unit Keusahawanan PTSS dengan menampilkan pelbagai hidangan istimewa sepanjang bulan Ramadan.

Bufet Ramadan yang mempunyai pelbagai menu menepati cita rasa pelbagai lapisan umur.
Bufet Ramadan ini merupakan penganjuran tahun kedua yang dilaksanakan bersempena bulan Ramadan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara pihak politeknik, industri serta komuniti setempat.
Program tersebut turut berperanan sebagai inisiatif akademik dan keusahawanan yang diuruskan sepenuhnya oleh para pelajar di bawah bimbingan pensyarah dan pihak industri, sekali gus menjadi platform experiential learning (pembelajaran berasaskan pengalaman) dalam bidang pengurusan acara, hospitaliti serta perkhidmatan makanan.
Menurut Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Ts. Khairul Anuar Ishak, penganjuran program seperti ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah pada situasi sebenar.
“Program ini memberi ruang kepada pelajar dalam aspek pengurusan acara, penyediaan makanan serta layanan hospitaliti, sekali gus memperkukuh kemahiran mereka selaras dengan pendekatan pembelajaran TVET yang berasaskan pengalaman sebenar,” katanya ketika di temui di Santai Minda Pauh Inn, semalam.

Jemputan kepada anak-anak tahfiz, mendidik pelajar TVET berniaga sambil beramal.
Tambahnya, penglibatan pelajar secara langsung dalam penganjuran program ini juga dapat memupuk nilai kerjasama, kepimpinan serta semangat keusahawanan dalam kalangan mereka.
Selain menjadi platform pembelajaran kepada pelajar, program ini juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menikmati hidangan berbuka puasa sambil menyokong usaha pembangunan bakat dan kemahiran generasi muda dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan makanan.
Pihak penganjur turut berharap program seumpama ini dapat memperkukuh lagi peranan institusi TVET dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, kompeten serta bersedia memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
-RI





